IKTIBAR KEPADA MEREKA YANG MUDAH TERPEDAYA.

Dalam majalah wanita Islam 'Muslimah', Februari 1999, terdapat satu cerita yang menarik berjudul: 'Iktibar Buat Mereka yang murtad!' (mukasurat 19-25).

Amat menarik sekali apabila kita mengkaji cerita 'pemelukan agama Islam' (dari Kristian ke Islam) si Ustaz Tajuddin Othman Abdullah itu. Kerana, apabila ceritanya diperiksa dengan lebih terperinci dan mendalam lagi, kami mendapati banyak perkara-perkara yang bercanggah dan ada banyak lagi yang tidak tepat mengenai peranan mahupun pegangannya yang kononnya "sebagai paderi besar di seluruh Sabah."

Rujukan telah dibuat kepada umat Roman Katolik dan orang-orang Sabah untuk mengesahkan cerita dan tuntutan-tuntutan serta tuduhan di dalam artikel polemik Majalah Muslimah (Februari 1999) ini, untuk menentukan kesahihan serta kebenarannya.

Kami akan memberi, sebagai contoh sahaja, segelintir daripada hakikat-hakikat itu yang membuktikan bahawa 'penukaran ugama' ini bukan sahaja satu pemalsuan, malah satu pembohongan yang telah sengaja direka untuk dijaja dan dijual kepada mereka yang kononnya ingin meninggalkan ajaran-ajaran Islam dan memeluk ajaran Kristian yang terkandung di dalam Injil dan Al-Kitab, yakni kononnya sebagai suatu 'iktibar' bagi mereka.

Contoh-contoh percanggahan di dalam cerita polemik ustaz Tajuddin :

1) menurut ustaz Tajuddin, 'untuk menjadi seorang Kristian, seseorang perlu menjalani "Ekaristi Pembaptisan' iaitu MEMINUM air ini' - iaitu air suci atau lebih dikenali sebagai 'Holy Water'," (muka surat 20).

Ini adalah satu KESILAPAN BESAR yang telah diucap oleh si ustaz Tajuddin! Kerana apa yang diucapnya itu tidak ada sokongan langsung daripada Kitab Injil Atau Al-Kitab atau pun mana-mana ajaran Hazrat Isa Al-Masih yang ada. Cubalah En.Tajuddin berikan rujukan daripada Kitab Injil atau Al-Kitab (Bible) ayat-ayatnya yang menunjukkan Pembaptisan itu melibatkan "meminum air 'Holy Water' itu" kepada kami, wahai bekas 'paderi' Tajuddin. Kalaulah dia betul-betul seorang 'Paderi Kristian' mestilah dia tahu semua itu. Kesilapan ini menunjukkan bahawa dia tidak pernah sekalipun memahami apa dia 'Ekaristi Pembaptisan' itu. Dan kesimpulan daripada kajian kami ialah: orang ini tidak pernah menjadi paderi, yang kecil mahupun yang besar, di mana-mana pun.

Upacara Pembaptisan itu adalah sesuatu perkara yang begitu DASAR SEKALI bagi akidah umat Katolik sehingga ia diajar kepada semua penganut Katolik dari bangku sekolah rendah lagi. Sebenarnya, Upacara Pembaptisan ini ialah di mana air yang telah didoakan oleh seorang Paderi Katolik akan dituang ke atas kepala seorang kanak-kanak Katolik sahaja. Tidak sekalipun dia dimestikan MEMINUM air tersebut! Dan untuk meminum air tersebut semasa Pembaptisan adapun bercanggah dengan pengajaran Injil dan dengan akidah agama Katolik sama sekali. Kami ingin tanya En.Tajuddin, "Sila beri rujukan ayat-ayat Injil atau mana-mana nas Al-Kitab Kristian yang lain yang membawa ajaran di atas atau seperti terkandung di dalam karangannya di dalam Muslimah itu kepada kami pembaca-pembaca."

Jadi, ini menunjukkan dan MEMBUKTIKAN bahawa fahaman si 'ustaz' Tajuddin mengenai amalan Katolik ini adalah salah dan kesilapannya menunjukkan dia tidak mungkin sekali pun menjadi seorang Paderi - paderi besar mahupun paderi kecil biasa! Sebab semua penganut Katolik biasa tahu dan akur yang apa yang disebutkan 'Pembaptisan' itu tidak melibatkan 'Meminum air suci' sama sekali. Kamu tidak payah menjadi seorang "Paderi" untuk mengetahui hakikat ini. SETIAP orang Katolik yang muda dan yang tua mengetahuinya, dan ini menjadi satu amalan yang lazim dipraktikkan oleh mereka. Apatah lagi seorang yang telah mengelarkan dirinya sebagai 'Paderi' kononnya, yang berperanan untuk menjadi 'Pemimpin' umat Katolik TETAPI berpegang kepada fahaman yang serong dan salah sama sekali! Sebenarnya, ustaz Tajuddin ini tidak pernah menjadi seorang 'Paderi' Kristian mahupun Katolik. Jika dia sendiri tidak tahu atau memegang kepada suatu amalan dan ajaran yang begitu 'basic' dan mendasar bagi setiap orang Katolik ini, sampai bila dia boleh mencapai dan menyandang peranan 'Pemimpin' atau 'paderi' bagi umat itu?

Lagi pun di muka surat 21 dia menuntut bahawa 'Holy Water' dibuat di suatu biara di 'Vantiken' - ini adalah KARUT SEMATA-MATA! Kalaulah En.Tajuddin masih berdegil tak mahu berganjak dari pendustaan ini maka kami memintakannya untuk sila memberi alamat penuh tempat 'Biara' ini. Dia membuat satu lagi kenyataan yang palsu apabila menuntut 'air suci' ini dibuat 'dari proses uzlah yang dijalani sebelum menjadi paderi'. Ini adalah pendustaan semata-mata dan jauh sama sekali dari kebenaran (Muslimah Februari 1999, m.s. 20).

Sebenarnya 'Air suci' atau 'Holy water' adalah air paip biasa yang diperolehi daripada mana-mana paip, yang didoakan oleh seorang paderi sahaja. Ia tidak pernah 'dibuat' di mana-mana tempat, di Melaka, Kota Kinabalu, London mahupun di 'Vatican' - ejaan dan sebutan 'Vantiken'nya pun salah dan silap.

Huraian di atas hanya adalah beberapa contoh-contoh percanggahan dan pengajaran-pengajaran palsu yang didakwa sebagai amalan-amalan umat Kristian yang dianjurkan oleh En.Tajuddin Othman Abdullah itu. Jika dia gagal membuktikan semua dakwaan-dakwaannya itu dengan tidak membawa ayat-ayat daripada Injil ataupun Al-Kitab (Bible) bagi menyokong apa yang dituntutnya sebagai 'amalan-amalan Kristian' seperti terkandung di dalam karangannya dalam Muslimah Februari 1999, maka sesungguhnya dia telah cuba memperdayakan pembaca-pembacanya dengan dakyah berasaskan pendustaan belaka.

Pusat Penyelidikan Katolik di Kuala Lumpur pun telah mengkaji tuntutan dan dakwaan beliau yang terkandung di dalam karangannya itu, kerana ada disebut nama Geraja Katolik di negeri Sabah, persatuan tertentu dan gelaran-gelaran serta butiran-butiran lain di dalamnya. Setelah memeriksa segala maklumat dan dakwaan dalam karangan itu dengan rapi, Catholic Research Centre atau Pusat Penyelidikan Katolik yang berpusat di Kuala Lumpur, telah memberi jawapan rasmi bagi pihak umat Katolik di Malaysia kepada Pengarang majalah Muslimah dalam sepucuk surat rasmi bertarikh Mac 26, 1999.

Di sini disertakan salinan jawaban tersebut supaya pembaca-pembaca dapat dimaklumkan apakah sebenarnya hasil pengkajian dan pemeriksaan Pusat Penyelidikan Katolik Malaysia ke atas dakwaan-dakwaan En.Tajuddin itu.

Maklumbalas daripada CRC: "Surat Terbuka Catholic Research Centre"

Berdasarkan kepada apa yang telah didakwa, kami ingin meminta dari Encik Tajuddin Othman Abdullah ini supaya :

1) Berilah kepada pembaca-pembaca, rujukan daripada Injil Hazrat Isa Al-Masih ataupun Al-Kitab Kristian/Katolik di mana umat Katolik diarahkan supaya mereka meminum air Pembaptisan. Kami tuntut daripada Encik Tajuddin ini - i) sila berikan bab dan ayatnya daripada Injil/Al-Kitab Kristian di manakah ajaran ini dijumpai? dan, ii) sila berikan rujukan daripada Al-Kitab di mana 'air Holy Water' ini dibuat di 'Vantiken' dan Kristian diarahkan meminumnya.

2) Di mukasurat 24 pula, si ustaz ini pun menuntut bahwa 'Di Vantiken, orang Kristian yang keluar agama kemudian masuk ke negara tersebut, mereka akan bunuh.' Ini adalah muslihat belaka. Gereja Katolik hari ini tidak membunuh mereka yang menukar agama mereka. Keputusan untuk memilih mana-mana agama adalah terserah kepada setiap individu Katolik. Mereka ada kebebasan untuk memilih agama mereka tanpa apa-apa tekanan dari luar. Jadi ini adalah satu lagi kenyataan palsu dan pendustaan yang dibuat oleh ustaz Tajuddin.

3) Di mukasurat 21 pula, Encik Tajuddin mendakwa bahawa:

"di Romawi ia (Kristian) dinamakan Kristianisasi. Jika kita meneliti di dalam Kitab Nabi Isa (Injil) tidak ada disebut 'Kristian'."

Inilah satu lagi contoh yang terang benderang mengenai kekosongan kata-kata En.Tajuddin ini. Malah ini bukan sahaja kata-kata kosong tetapi satu lagi dalil pendustaannya! Istilah "Kristian" ADA DISEBUT di dalam Injil mahupun di dalam Al-Kitab:

"Di Antiokhia, untuk kali pertama pengikut-pengikut Isa disebut orang Kristian." (Kisah Rasul-Rasul 11 ayat 26)

Jadi, segala yang dituntut oleh "paderi" terpesong ini tidak mempunyai asas di dalam Kitab yang konon telah dipelajarinya.

Jadi, kita dapat melihat ada banyak yang tidak logik dengan apa yang diceritakan dan dituntut oleh En.Tajuddin ini. Ada banyak juga lagi yang tidak benar dan merupakan muslihat dan pembohongan-pembohongan belaka dan pendustaan-pendustaan ini cuba digunakan oleh ustaz Tajuddin bagi 'mengubati' umat Islam di sini.

Kami kemukakan tuntutan kami dan memohon ustaz ini memberikan rujukan ayat-ayat Al-Kitab yang mengajar 'amalan-amalan Kristian' yang dianjurkannya di dalam perkara (1) di atas dan juga ada di dalam ceritanya di dalam Majalah Muslimah Februari 1999 yang lalu. Jika ustaz Tajuddin ini tidak dapat memenuhi permohonan yang dihurai diatas maka sudah terbuktilah yang dia dan ceritanya tidak memihak kebenaran. Kalau ustaz Tajuddin ini tidak dapat buktikan ajaran dan amalan "Kristian/Katolik"nya seperti terkandung di dalam ceritanya terdapat di dalam Al-Kitab Bible dan disokong pula oleh rujukan-rujukan dan ayat-ayat relevan yang terang dan jelas, maka dia:

  1. seharusnya menarik balik ceritanya di dalam majalah Muslimah Februari 1999 dan,
  2. memohon maaf daripada umat Kristian/Katolik kerana dia telah membohongi mengenai amalan-amalan dan ajaran-ajaran mereka. Dia juga,
  3. seharusnya memohon maaf daripada umat Islam yang telah membaca ceritanya kerana dia telah cuba mengunakan dakyahnya yang palsu bagi menjual ide yang berlandaskan pembohongan mengenai umat Kristian/Katolik untuk memperdayakan mereka.

Ini adalah tindakan yang wajar dan mulia bagi En.Tajuddin Othman sebagai seorang yang, mengikut tuntutannya, menyandang tugas 'seorang ustaz.'

Daripada Injil kami mendapat ajaran supaya jangan membangunkan ibadat dan kerohanian kami berlandaskan kepada kepalsuan dan pendustaan, tetapi untuk sentiasa membangunkan keimanan kami berdasarkan kebenaran dan berwaspada akan pembohongan yang mencurigakan.

Kalaulah ustaz Tajuddin ini benar-benar mengutamakan kebenaran dan inginkan cahaya kebenaran bagi dirinya dan umatnya, kami menasihatinya supaya janganlah menggunakan pendustaan-pendustaannya itu sebagai satu cara memajukan dan membangunkan 'syiar' Islam. Kerana 'kemajuan syiar' itu berlandaskan kepada sesuatu yang sudah terbukti sebagai pendustaan belaka dan malangnya ini ialah kegelapan yang amat mencurigakan.

Adalah diharap supaya pembaca-pembaca sedar selalu akan kewujudan banyak pendustaan dan pembohongan yang telah digunakan untuk mengelirukan dan memesongkan ajaran-ajaran Kristian yang sebenar. Kami dengan ikhlasnya ingin menasihati semua pembaca-pembaca berwaspada terhadap dakyah-dakyah yang tidak berasas ini supaya mengkaji dan memeriksa dengan cara terbuka semua dakwaan dan tuntutan terlebih dahulu dan janganlah senang diperdayakan, supaya segala dakyah-dakyah yang tidak berasas ini janganlah ditelan dengan bulat-bulat sahaja!


Homepej-homepej Bahasa Melayu dan Indonesia
Answering Islam Main Site (English)