Isa Al-Masih Menenangkan Ribut Hidup

Apakah anda pernah terfikir bahawa kehidupan anda terlalu sibuk? Pernahkah anda cuba untuk mengatur kehidupan anda dengan menyediakan satu senarai hal-hal yang mesti dilakukan, kalendar yang penuh diisi dengan aktiviti-aktiviti dan masa yang diagihkan mengikut kepentingan sesuatu peristiwa? Sering kali usaha-usaha seperti ini hanya menambahkan satu lagi lapisan kepada kehidupan kita yang sudah pun sulit dan sibuk.

Hakikatnya ialah kita tidak boleh menangani satu kehidupan yang sudah pun sibuk melalui pengurusan yang lebih baik.

Sedarlah bahawa kebudayaan moden yang kita alami sebenarnya menggalakkan kesibukan yang berlebihan. Kita hidup dalam satu zaman yang mengalami dan terus mengalami kemajuan yang pesat. Kita terpaksa berurus dengan banyak maklumat, lebih daripada apa yang telah dilihat sebelum ini.

Dalam kesibukan hidup seperti ini, ketahuilah bahawa Allah mempunyai satu rencana. Dia mahu supaya kita hidup secara strategis dan bertujuan, digalakkan oleh diriNya dan tidak dikuasai oleh kebudayaan kita. Setiap hari, walaupun Isa Al-Masih mempunyai jadual yang penuh, dia menjalankan hidupnya dengan penuh ketenangan. Dia tidak pernah bergegas dan kesejahteraannya mengalir kepada mereka yang ada di sekelilingnya.

Apakah yang boleh kita belajar dari Isa Al-Masih tentang pengaturan hidup yang baik?

Pertama, pergaulan hidup Isa Al-Masih bersama orang ramai adalah hasil dari masa yang dilapangkan bersendirian bersama Allah. Setiap pagi, kita dimaklumkan dalam Injil, Isa Al-Masih akan pergi ke tempat yang sunyi, jauh dari orang ramai untuk berdoa kepada Allah, yang dipanggilnya Bapa. Dalam setiap keputusan yang dibuat, Isa Al-Masih berpaling kepada Allah untuk mendapatkan bimbingan. Ini jelas nampak apabila Isa Al-Masih memilih dua belas orang untuk menjadi anak muridnya.

Pada masa itu Isa Al-Masih naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di situ dia berdoa kepada Allah semalam-malaman. Apabila hari sudah terang, dia memanggil pengikut-pengikutnya lalu memilih dua belas orang daripada mereka. (Injil Lukas bab 6 ayat 12 dan 13)

Allah telah memerintahkan manusia untuk berehat. Kita perlu memperlahankan aktiviti hidup harian buat seketika untuk menerima rahmat Allah dan memulihkan roh kita. Sedarlah bahawa banyak perkara yang kita lakukan akan memerlukan masa yang banyak. Kerana itu khususkan masa untuk berehat, berdoa dan bersantai bersama keluarga yang disayangi.

Kedua, Isa Al-Masih hidup dalam lingkungan keterbatasannya. Dia tidak berusaha untuk memenuhi setiap keperluan dan mengajar setiap manusia. Pada suatu pagi, ketika Isa Al-Masih sedang berdoa, beberapa dari pengikutnya mencari dia lau berkata, "Semua orang sedang mencari engkau." Isa Al-Masih tahu tujuan hidupnya dan sedar akan keterbatasannya. Kerana itu dia menjawab,

Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah aku datang. (Injil Markus bab 1 ayat 38)

Respons Isa Al-Masih kepada permintaan pengikut-pengikutnya bukan kerana dia tidak mengambil berat akan kesengsaraan manusia tetapi dia faham keadaan manusia dan keterbatasan mereka. Batas-batas keupayaan ini telah diberi Allah untuk perlindungan kita dan Dia tidak tertakluk untuk menyelamatkan kita apabila had-had ini dilanggar. Hidup di dalam lingkungan batas-hidup pemberian Allah memperlengkapi kita untuk respons dengan betul kepada hidup yang telah diberi Allah itu.

Hadkan jumlah komitmen-komitmen yang buat. Mohon bimbingan dari Allah tentang setiap permintaan yang diarahkan kepada anda sebelum anda menjawab ‘ya’. Pastikan semua keputusan anda selaras dengan rancangan strategik Allah untuk anda.

Ketiga, kehidupan Isa Al-Masih merupakan respons kepada rencana Allah – bukan rancangan orang lain atau tuntutan budayanya. Lihatlah pengakuan Isa Al-Masih sendiri tentang hal ini:

Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepadaku. Dia yang mengutus aku ada bersama-sama aku. Dia tidak pernah membiarkan aku sendirian, kerana aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. (Injil Yohanes bab 8 ayat 28 dan 29)

Sejumlah besar kehidupan kita dihabiskan sebagai respons kepada apa yang kita fikir orang lain tuntut dari kita. Sebaliknya, Isa Al-Masih sentiasa melakukan – atau tidak melakukan – perkara-perkara yang mengejutkan, dan ada masanya, mendukacitakan mereka yang ada di sekelilingnya. Pernah sekali dia sengaja memilih untuk berehat di sebuah perigi supaya dia boleh bercakap dengan seorang perempuan berbangsa Samaria. Kenapa ini sesuatu yang mengejutkan? Mungkin petikan berikut dari Injil Yohanes bab 4 ayat 5 hingga 10 dapat menjelaskan keunikan perbuatan Isa Al-Masih itu.

Di Samaria Isa Al-Masih tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberi oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Isa yang penat kerana perjalanannya, duduk dipinggir perigi itu. Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Isa Al-Masih berkata kepadanya, "Berilah aku minum." Wanita Samaria itu menjawab, "Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?" (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan orang Samaria). Isa menjawab, "Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripadanya lalu dia akan mengurniakan air yang memberi hidup kepadamu."

Reaksi orang di sekelilingnya tidak membuat Isa Al-Masih tawar hati atau marah. Ini adalah kerana dia hidup sesuai dengan rentak yang ditentukan oleh Allah untuknya dan bukan yang ditentukan oleh masyarakat dan kebudayaannya pada ketika itu. Bertekadlah untuk mencontohi amalan Isa Al-Masih ini. Lakukanlah apa yang berkenaan kepada Allah, bukan apa yang dituntut oleh masyarakat sekeliling.

Keempat, Isa Al-Masih selalu memberi perhatian kepada dia yang berdiri di hadapannya pada ketika itu. Isa Al-Masih menyayangi orang dengan memberi perhatian penuh kepada sesiapapun yang melintasi jalannya pada satu-satu masa.

Pernah sekali ada seorang bernama Zakheus yang ingin melihat Isa Al-Masih. Kerana terlalu ramai orang dan dia pula pendek, Zakheus memanjat sebatang pokok supaya dia dapat melihat Isa Al-Masih yang berlalu di situ.

Apabila Isa Al-Masih tiba di situ, dia memandang ke atas lalu berkata kepada Zakheus, "Zakheus, turunlah segera! Hari ini aku mesti menumpang di rumah-mu." Zakheus turun dengan segera dan menyambut Isa Al-Masih dengan kegembiraan. (Injil Lukas bab 19 ayat 5 dan 6)

Jangan benarkan halangan, temu janji atau kerisauan menyekat anda dari memberi perhatian penuh kepada si dia yang ada bersama anda pada ketika itu. Orang yang Allah tempatkan bersama anda pada satu-satu masa adalah di sana untuk satu tujuan – melayani anda atau menerima pelayanan dari anda – jika anda ada masa!

Jadikanlah gaya hidup Isa Al-Masih panduan hidup anda hari ini. Isa Al-Masih boleh menenangkan segala keributan dalam hidup anda, jika anda membenarkan dia.

Marilah kepada-ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu. Ikutlah perintah-ku dan terimalah ajaran-ku, kerana aku ini lemah-lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan – kata-kata Isa Al-Masih dalam Injil Matius bab 11 ayat 28 dan 29.


Indeks Utama