Kesaksian Saudara Abu Bakar
Assalamualaikum kepada semua Saudara-saudari yang dikasihi Tuhan
Nama says Abu Bakar, saya seorang Melayu yang berasal dari Semenanjung Malaysia. Tuhan Allah sangat baik kepada saya. Dia telah mencurahkan taufik dan hidayah-Nya ke dalam hidup saya, malah lebih daripada itu, berkat dan anugerah-Nya yang cukup besar telah dilimpah-limpahkan ke atas diri saya, yang tidak layak sekali menerima kasih kurnia-Nya yang tak terbanding itu! Alhamdulillah dan segala puji-pujian dinaikkan kepada nama-Nya!
Kesaksian saya ini adalah satu pemberian dan penghargaan kepada Allah ta'ala bagi kemuliaan-Nya di atas segala kebaikan-Nya yang Dia telah curahkan kepada saya yang tak layak menikmati segala kasih kurnia-Nya.
Saya dilahirkan dalam keluarga Muslim. Ayah saya seorang yang bertaqwa dan telah cuba menegakkan rukun-rukun Islam serta menjadi seorang Islam yang berteladan dan mukmin kepada umat Muslim di sekitarnya. Daripada ayahlah saya telah belajar mengaji dan al-Quran serta ajaran-ajarannya. Keadaan inilah kehidupan saya sampai peringkat remaja saya di mana saya telah banyak mengamati ilmu keislaman secara mendalam sehingga kepulangan ayah saya ke rahmatullah, tidak lama kemudian.
Walau pun saya telah mengamati banyak ilmu dalam agama Islam, ada kala timbul juga persoalan dan kemusykilan dalam hati dan minda saya tentang apa yang telah diajari itu! Banyak kali saya telah ditegah daripada menimbulkan persoalan dan kemusykilan agama Islam ini secara terbuka, malah dimarahi pula oleh orang-orang Muslim yang lain (termasuk ustaz dan cerdik pandai agama!).
Akan tetapi, saya telah cuba mengkaji perkara-perkara yang musykil itu dan di antara mereka adalah Hadith-hadit yang 'sahih'-seperti Bukhari, Muslim Tarmizi dan lain-lain, tetapi cukup janggal dan pelik sekali. Salah satu ialah saranan sunnah (dari Hadith) untuk "meminum air kencing unta sebagai 'ubat'" ( Hadith Bukhari 7 No.590)! Ini juga terdapat di Hadith Sahih Muslim 3, nombor 4130. Padahal, binatang seperti unta tidak terdapat secara semulajadi di rantau ini, tetapi air kencingnya harus diminum sebagai ubat yang mujarab!
Juga, terdapat di hadith al-Bukhari 4, Nombor 509, bahawa kononnya 'menguap ialah dari syaitan dan iblis'; ini disahkan sekali lagi di hadith Muslim 4, nombor 7129 dan hadith Bukhari 8, nombor 242 & 245. Sebaliknya, untuk "bersin adalah 'okay' disisi Allah" (HS Bukhari 8 No.242,245). Apabila seorang "Muslim terkentut (dengan tidak sengaja), ini serta-merta membatalkan Solatnya!" (H.S.Bukhari 1,no.137, 436 dan 176 & 177!) Apakah pentingnya perbezaan di antara bersin dan menguap? Dan apakah 'kentut dapat membatalkan solat' seseorang itu, menurut Hadith sahih? Bukankah semua ini adalah aksi-aksi refleks (reflex actions) yang tidak disengajakan oleh sesiapa pun!
Sesuatu hal yang lain yang 'boleh membatalkan solat' ialah anjing berwarna hitam! Lihatlah hadith sahih Muslim 1, nombor 1032. Kerana kononnya, "anjing hitam adalah syaitan dan iblis"-menurut Hadith tersebut! Dimanakah kebenaran saintifik atau logik yang membuktikan syaitan suka 'menghuni' anjing-anjing hitam (tetapi tidak pula jenis anjing-anjing dan binatang yang lain)?! Satu lagi hadis yang pelik ialah : 'sayap kiri seekor lalat beracun, tetapi sayap di kanannya terdapat 'antidote' atau ubat menetralkan racun itu (hadis sahih Bukhari Vol.4, Kitab 54, nombor 537)! Bukankah ini kekarutan sebenarnya! Dimanakah dasar kukuh ilmiah dan saintifik bagi ajaran-ajaran seperti tersebut?
Saya juga terkejut apabila dapat tahu kesimpulan bahawa 'hadith-hadith itu semua adalah karut semuanya' telah juga dibuat oleh beberapa kumpulan Muslimin yang cukup ortodoks. Mereka dianggap sebagai 'kumpulan anti-hadith' dan terdiri daripada orang-orang Islam semuanya-termasuk tokoh-tokoh Islam! Mereka menolak kewibawaan semua koleksi Hadith - termasuk "hadith sahih". Di antara mereka adalah seorang tokoh Islam dari Malaysia, Kassim Ahmad, yang telah menulis buku-buku membentangkan fakta-fakta dan sebab-sebab mengapa Hadith-hadith (termasuk yang Sahih) harus ditolak sama sekali, judul-judul karya-karya beliau ialah "Hadis-Satu Penilian Semula" dan "Hadis - Jawapan Kepada Pengkritik".
Jadi, cubalah gambarkan kekeliruan dalam minda saya! Kerana bukan hanya saya sahaja yang telah berasa musykil dan khuatir atas Hadis-hadis yang janggal dan pelik seperti itu, tetapi saudara Islam ortodoks saya, termasuk pujangga-pujangga Islam yang terkenal, yang juga telah menolak Hadis-hadis sahih. Dari situ, kecurigaan dan kekhuatiran saya terhadap Islam telah bertambah dengan lebih ketara.
Pada waktu itu juga, saya telah memperolehi sebuah Kitab Suci Injil yang lengkap. Kitab ini juga dikenali dengan nama Al-Kitab atau The Holy Bible dalam Bahasa Inggeris.. Saya dapat telaah dan memahami kata-kata, ajaran dan ibarat-ibarat Sayidina Isa a.s. dengan lebih tepat dan mantap. Saya mendapati bahawa baginda telah mengajar para pengikut-pengikutnya menanggapi Tuhan Allah sebagai 'Bapa di Syurga'! Seperti mana doa al-Fatihah dalam Quran, Sayidina Isa al-Masih telah mengajar "Doa Bapa Kita" kepada para hawariyun dan pengikut-pengikut Sayidina Isa a.s (lihat di Injil Matius 6 ayat 9-13).
Di antara lain, Sayidina Isa telah mengajar tentang kesucian dan kenajisan seperti berikut:
"Bukan apa yang masuk ke dalam mulut seseorang itu yang mencemarinya, tetapi apa yang keluar daripada mulut orang itu yang mengotorinya. Apa yang keluar daripada manusia berpunca dari hatinya dan itulah yang menodainya. Dari hati manusia datangnya fikiran yang jahat, pembunuhan, zina, pencurian, pendustaan dan fitnah, maki-hamun. Semua inilah yang menajiskan manusia itu. Tetapi untuk menjamah makanan tanpa mencuci tangan sebelumnya tidak mengotori manusia itu!"
Matius 15:18-20
Tentang kasih sayang pula, Sayidina Isa a.s. telah mengajar bahawa:
"Tidak ada kasih yang lebih besar daripada kasih seseorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabat-sahabatnya."
Yahya 15:13
Dan baginda telah menyatakan siapakah yang sanggup mengorbankan nyawanya adalah seperti seorang penggembala :
"Pencuri tidak datang kecuali untuk mencuri, untuk membunuh dan untuk memusnahkan. Aku telah datang supaya manusia dapat nikmati kehidupan secara berkelimpahan. Akulah Gembala yang Baik [itu], dan Gembala Baik ini sanggup mengorbankan nyawanya untuk domba-dombanya."
Yahya 10:10-11
Akan tetapi, yang paling mengagumi sekali ialah pernyataan dari Sayidina Isa al-Masih bahawa :
"Aku (yakni Sayidina Isa) adalah Jalan, Kebenaran dan kehidupan, tidak ada seorang pun yang dapat kembali kepada Tuhan Allah selain daripada Aku.."
Yahya 14 : 6
Kembali kepada hakikat kasih-sayang Allah, Dia masih mengasihi manusia yang fasik dan yang masih dalam dosa dan pemberontakan mereka terhadap Allah s.w.t., sesuai dengan sabda :-
"Ketika kita masih lemah, pada saat yang telah ditentukan oleh Allah, Al-Masih Isa telah berkorban bagi kita, orang-orang fasik.
"Sukar sekali seseorang mahu mati untuk seorang yang saleh, sekali pun untuk orang yang baik budinya barangkali ada orang yang berani atau rela mati.
"Akan tetapi, ALLAH TELAH MENYATAKAN KASIH-NYA KEPADA KITA, kerana Al-Masih Isa telah mati untuk kita, KETIKA KITA MASIH BERDOSA."
Roma 5 : 6 - 8
Alangkah begitu besar dan indahnyanya kasih sayang Allah swt yang sejati dan tidak terbanding itu!
Nas Firman telah bersambung :
"Lebih-lebih lagi sekarang, setelah kita ditebuskan oleh darah-Nya! Tentu Dia akan menyelamatkan kita dari murka Allah.
"Kerana jika waktu kita masih menjadi seteru Allah, kita sudah didamaikan dengan Dia melalui penebusan Putera yang telah datang dari Allah, lebih-lebih lagi sekarang, setelah kita berdamai! Sudah tentu kita akan diselamatkan oleh hidup-Nya."
Roma 5 : 9 - 10
Setelah beberapa bulan membaca, mengkaji dan meneliti ajaran Isa itu, saya membuat keputusan untuk memeluk risalah Sayidina rabbani Isa al-Masih itu dengan sebulat hati, tanpa apa-apa kekhuatiran atau kecurigaan lagi. Sejak saat itu, Allah ta'ala telah menganugerahi jiwa dan raga saya dengan berkat-berkat kasih kurnia-Nya yang cukup indah dan tidak terbanding hidayahnya!
Sekarang, saya benar-benar faham dan hayati apakah kasih dan sayang Allah s.w.t yang sebenar dan yang tulin sejati. Saya kini sungguh-sungguh kenal maksudnya 'ar-rahman dan ir-rahim' Allah swt itu, dimana dulunya nama-nama tersebut itu sangat terbatas lagi terhad maksud dan skop mereka, kini saya sudah benar-benar kenal dan mengalami hakikat "Allah itu KASIH adanya.." sesuai dengan nas Injil 1 Yahya 4 ayat 8! Lebih dari itu, kepastian hidup di dunia dan di akhirah juga telah saya memperolehi, atas sabda dan janji Sayidina rabbani Isa a.s.Alhamdulillah!
Ada sesetengah pihak yang suka melemparkan tuduhan kosong yakni 'orang memeluk ajaran Isa Al-Masih sebab mereka diberi sogokan dan ganjaran wang, wanita dan harta', kononnya! Ini adalah kata-kata fitnah dari orang yang irihati dan sangat jahil sebenarnya. Oleh kerana saya sendiri tidak diberikan ganjaran-ganjaran tersebut dalam apa rupa atau bentuk pun. Sebaliknya, apa yang lazimnya disebutkan manusia sebagai 'duri-duri kesulitan' telah menjadi sesuatu kebiasaan untuk saya. Itu semua tidak menjadi masalah bagi saya oleh kerana saya sudah memperolehi keyakinan kehadiran dan bimbingan Allah s.w.t. Kepastian dan keyakinan ini semakin bertumbuh dan bertambah kukuh saban hari, kendatipun segala macam cabaran, rintangan dan cobaan saya mungkin mengharungi. Amin! Amin! Alhamdulillah ya Robbil al-Amin!.