KENAPA ORANG ISLAM YANG MASUK KRISTIAN MENGALAMI PENOLAKAN?
Terdapat beberapa sebab mengapa orang Islam yang memeluk agama Kristian mengalami penolakan dari keluarga dan juga ancaman atas nyawa mereka. Beberapa sebab yang mungkin adalah seperti berikut:
- Tekanan mental dan emosi
yang kuat oleh penganut baru sering kali menyebabkan dia mengasingkan diri dari keluarganya. Kata-kata tuduhan dan kecaman yang sering dilafazkan mengganggu minda dan tangisan ibu serta amarah bapa mengacau emosi. Keadaan huru-hara dan tegang dalam rumah juga menggalakkan penganut agama Kristian ini memindahkan diri.
- Banyak keluarga menolak bahkan menyangkal penganut Kristian baru itu daripada keluarga mereka. Ini adalah kerana pilihan untuk memeluk agama Kristian dipandang sebagai satu penghinaan besar kepada keluarga serta agama Islam. Banyak keluarga berasa malu yang amat sangat ketika diketahui ada ahli keluarga mereka yang telah menjadi orang Kristian.
- Banyak kali, keluarga si pemeluk agama Kristian ini menggunakan usaha-usaha 'keras' untuk mengislamkan kembali ahli keluarga mereka yang telah murtad. Ini termasuk mengurung mereka dalam bilik, menghantar mereka ke bomoh (untuk menerima "rawatan") dan menghadiri kelas-kelas pemulihan akidah oleh ahli-ahli agama Islam. Kaedah-kaedah ini bukan hanya bertujuan mengubah keputusan orang Kristian itu tetapi juga memudaratkan kesihatannya. Ramai orang Kristian melarikan diri apabila keadaan ini berlaku.
- Apabila keadaan seperti ini berlaku, adalah sukar untuk orang yang telah menjadi orang Kristian itu untuk kembali kepada keluarganya: mereka menolaknya dan dia berasa susah ketika bersama mereka. Syukur kepada Allah ada keluarga yang berubah dan berlembut hati setelah beberapa lama dan orang Kristian ini dapat bermesra semula dengan keluarganya.
- Ada satu fahaman dalam Islam (mengikut terjemahan beberapa mazhab Islam) bahawa orang yang murtad, setelah usaha tiga kali diajak kembali ke Islam gagal, mesti dibunuh. Dari buku "Satu Analisa Mengenai Murtad" penulisnya Dr. Amran Kasimin berkata, "Ulama telah sepakat mengatakan bahawa hukum murtad ialah hukum bunuh berdasarkan kepada Hadis." Orang Islam yang berpegang kepada ajaran ini tidak segan melaksanakan hukum itu dan inilah mungkin sebabnya ada yang telah dibunuh (walaupun setakat ini tidak ada pengakuan dari pihak-pihak yang terlibat)
Ini ialah beberapa sebab mengapa orang Islam yang memeluk agama Kristian mengalami keregangan dalam keluarga dan ancaman maut atas nyawa mereka. Semoga dalam dunia moden ini, manusia tidak akan lagi mengamalkan hukum bunuh kerana bertukar agama tetapi sebaliknya memberi kebebasan dan penerimaan sepenuhnya kepada sesiapa pun apabila dia memilih satu-satunya agama menjadi agamanya.
Indeks Utama