KESAKSIAN ROGAYYAH

 

Nama saya Rogayyah, seorang wanita Melayu dari Malaysia. Pada masa bangku sekolah saya, dari sekolah rendah, saya telah belajar di sekolah biasa sebelah waktu pagi dan di sekolah agama Islam pada waktu petang. Di sekolah agama , saya telah mengaji dan membaca al-Quran, menghafalkannya dan juga menafsirkannya dengan betul. Saya telah mencapai kelayakan Ustazah di sekolah agama itu dan oleh itu saya juga telah mengajar agama kepada anak-anak murid Islam yang lain.

Semasa mengaji agama Islam, saya telah diajar bahawa berdoa adalah satu-satunya cara untuk mendekati Tuhan Allah. Dalam solat kami, kami diwajibkan membaca surah Al-Fatihah (surah pertama Quran) setiap kali. Ayat 6 surah ini berkata : "Tunjukilah kami ke jalan yang lurus." Saya telah mengucap ayat ini selama berpuluh-puluh tahun, akan tetapi saya tidak pernah menjumpainya, walaupun saya telah mencuba dengan ikhlas. Saya pernah menanyakan Ustaz saya dahulu, tentang 'jalan lurus' ini tetapi jawabannya selalu ialah untuk jangan tanya tentang hal-hal itu, terimalah saja tanpa bersoal-siasat! Sebaliknya di sekolah pagi, saya sentiasa menyoalkan guru-guru saya bila terdapat persoalan dan mereka akan menjawabkan saya.

Saya telah diajar untuk mendoakan bagi Nabi Muhammad di penutup setiap doa solat saya, memohonkan Allah supaya menyelamatkan Nabi juga. Tetapi, bukankah Muhammad itu seorang 'Rasul' gelarannya, pembawa risalat Tuhan, jadi belaiu haruslah diselamatkan kerana ketakwaannya. Saya juga telah menanyakan darihal persoalan ini kepada Ustaz saya, tetapi dia telah memarahi saya dan juga memanggil saya seorang "kafir"! Oleh kerana saya telah banyak menyoalkannya ustaz saya tentang ayat-ayat al-Qu'ran, dia telah tidak menyukai saya. Dia juga tidak dapat memberi jawaban-jawaban yang memuaskan bagi soalan-soalan saya itu. Ini telah membuat saya keciwa dan saya pun telah mencari jawaban-jawaban saya ditempat yang lain.

Nenek-moyang saya adalah bomoh dan dukun. Saya telah mewarisi kemahiran nenek moyang saya juga. Mereka yang sakit -terutama yang dirasuk, atau yang terkena sawan tiba-tiba, telah mendatangi saya untuk mencari penyembuhannya. Kebolehan saya dalam bidang ini datang dengan pertolongan orang halus (jinn) yang saya telah mewarisi daripada nenek saya. Mula-mula, saya juga terkejut apabila terjumpa dengan ayat-ayat al-Quran yang boleh digunakan bagi memikat hati lelaki dan wanita. Ada juga ayat-ayat yang boleh dipakai untuk menyusahkan orang lain. Ini telah membuat saya mencurigakan dan khawatir akan kemurnian agama Islam. Kemudian, saya telah ikut seorang kawan beragama Hindu ke kuil Hindunya. Disana, saya telah melihat beberapa patung berhala yang hodoh memegang lembing! Saya amat tidak senang hati dengan benda-benda itu, lagipun, bahasa upacara ibadat mereka dalam Tamil, yang saya tidak fahami.

Selepas itu, saya telah ikut beberapa sahabat Kristian pergi ke gereja pada hari Ahad. Disana, saya tidak berjumpa dengan patung-patung berhala, lagipun bahasa pengantar waktu ibadat ialah Inggeris yang saya fahami. Saya terus bersama-sama dengan kawan-kawan telah pergi ke perjumpaan doa (prayer meetings) di rumah guru sekolah Inggeris saya. Disana saya telah dihormati dan menerima kasih-sayang dari umat Kristian yang sebelum itu tidak pernah dirasa di rumah saya sendiri! Pada suatu petang, saya telah kembali ke rumah saya dengan membawa sekeping gambar Isa Almasih. Bapa saya telah memukul saya apabila dia berjumpa dengan gambar itu. Sejak itu, saya teruskan ibadah-ibadah Islam saya sebagai seorang anak yang mendengar kata ibu-bapa saya, dan juga kerana takut dihalau keluar dari rumah atau diberhentikan persekolahan saya!

Didalam Quran, saya terjumpa dengan ayat al-Zukhruf ayat 61 yang berbunyi: "Sesungguhnya 'Isa itu memberitahukan hari kiamat, sebab itu janganlah kamu ragu-ragu tentang itu dan ikutlah Aku. Inilah jalan yang lurus." Ayat 62 : "Janganlah kamu terhalang oleh Syaitan, sesungguhnya dia musuh yang nyata bagimu." Ayat 63 : "Tatkala 'Isa datang dengan ayat-ayat katanya : 'Sungguh aku datang kepadamu dengan membawa hikmah, dan supaya kuterangkan kepadamu sebahagian apa yang kamu perselisihkan; maka takutilah Allah dan ikutlah aku.'" Apabila saya telah menyoalkan tentang ayat ini dari ustaz, dia hanya berkata bahawa dipenghujung hayat manusia, kita akan berjumpa nabi Muhammad! Sebenarnya dia telah benar-benar keluar tajuk daripada apa yang telah saya persoalkan! Kadang-kala, saya akan pergi ke gereja seorang diri. Ini termasuk sebuah gereja Katholik, disanalah saya telah bertemu dengan bakal suami saya, Richard.

Mula-mulanya, Richard adalah seorang Roman Katholik. Dia seringkali membawa rantai tasbihnya ke mana-mana dan juga memakai seutas tangkal Buddha bagi 'kekuatan'. Saya telah mengikutnya ke Gereja Roman Katholik. Upacara ibadah Katholik ada kemiripan dengan ibadah solat Islam. Tetapi ada kala saya ingatkan Richard tentang patung-patung di dalamnya, tetapi Richard tidak pernah berselisih dengan saya pasal itu. Ini berpanjangan untuk beberapa tahun. Pada satu hari, Richard telah jatuh sakit, dan terpaksa dimasukki Hospital. Dia terpaksa mengambil ubat-ubatnya walaupun sudah keluar dari hospital. Tapi, ubatan itu tidak menolong sembuhannya sehingga dia terus menjadi kurus dan lemah. Jadi, saya telah cuba mengubatinya dengan cara tradisional saya, yaitu dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran keatas minumannya lalu diberikannya untuk diminum. Tetapi itupun tidak berkesan! Saya hairan dan amat tidak senang hati, sebab saya seorang bomoh yang disegani oleh anak-anak buah di kampung saya.

Tidak lama kemudian, sahabat Richard, suami saya, telah perkenalkan seorang pendita gereja (pastor) kepada kami. Beliau telah menjelaskan kepada kami dari Kitab Suci Injil, bagaimana hazrat 'Isa telah menyembuhkan ramai orang sakit bukan saja di zamannya, malah sehingga ke hari ini juga! Kami hanya perlu mempercayai kuasanya dan mengimani firmannya, Richard juga boleh mengalaminya sendiri! Itu adalah kali-kali pertama kami telah membaca Kitab Suci Injil dan berdoa bersama-sama sebagai suami-isteri. Dalam masa beberapa minggu saya dapat melihat kesan yang positif ke atas kesihatan suami saya, nampaknya, Tuhan Allah telah mendengar dan memakbulkan doa-doa kami! Hallelujah!

Sesudah kami meneliti dan memahami utusan Injil yang sebenar, serta apa yang dimaksudkan 'Penyelamatan' itu, kami berdua suami-isteri telah membuat keputusan menerima pemberian Tuhan ini yang telah Dia anugerahkan melalui satu-satu Jalan TerpilihNya yakni Al-Masih 'Isa Putera Maryam. Kami juga menganggotai gereja untuk mendalami fahaman dan pegangan kami dalam Alkitab. Kami berdua amat senang dan telah banyak diberkati semasa mengikuti kebaktian-kebaktian gereja ini dan telah banyak mendalami pemahaman dan penghayatan kami tentang Alkitab melalui khotbah-khotbah dan syarahan-syarahan yang disampaikan oleh pendita-pendita dan gembala-gembala Tuhan yang diurapi Roh Kudus!

Semasa suatu perjumpaan doa, pendita gereja telah menjemput sesiapa yang terbeban dengan masalah-masalah untuk keluar ke depan untuk didoakan. Beliau telah memanggil Richard khususnya untuk keluar supaya didoakan. Bila tiba masanya untuk suami saya didoakan, Richard telah rebah diatas lantai sesudah doa itu! Saya telah kurang yakin dengan peristiwa rebah ini, lalu, selepas itu saya telah menyoalkan suami saya Richard tentang pengalaman beliau itu - kalau-kalau dia telah meniru orang lain yang telah rebah kelantai juga! Dia menjawab dia tidak meniru sesiapa pun, tetapi secara sungguh-sungguh dia telah melihat cahaya yang sangat terang menjelma di hadapannya sambil dia didoakan, lalu dia terus rebah didepan cahaya itu. Secara peribadi, saya mencurigai penjelasan Richard itu. Jadi, saya telah mencabarnya, pada minggu akan datang, saya juga akan ke hadapan untuk minta didoakan. Tetapi, saya tidak akan rebah ke atas lantai seperti Richard!

Pada minggu seterusnya kami telah pergi ke gereja. Pemimpin gereja telah membuat jemputan kepada jemmah untuk keluar ke depan supaya didoakan. Jadi, saya telah pun keluar ke depan dan tiba masanya giliran untuk saya didoakan, saya telah berdiri setegak-tegaknya! Tiba-tiba, tanpa sangkaan, satu cahaya yang amat cerah muncul di depan saya. Bentuk cahaya itu sebuah Salib! Segala-galanya berlaku amat cepat sekali. Pada saat seterusnya, saya telah rebah di atas lantai, dan beberapa orang jemaah sedang mendoakan saya ! Kegirangan saya tidak terhitung pada saat itu! Dengan penuh gembira, ketenangan dan suka hati saya kembali ke rumah dengan Richard, suami saya. Ini adalah satu pengalaman yang tidak dapat dihilangkan dari memori saya.

Kami meneruskan pengkajian Alkitab kami, pada satu hari, saya berjumpa dengan nas Alkitab yang memetik daripada kata-kata Almasih Isa sendiri yaitu Yohanes 14 ayat 6 : "Aku-iaitu Isa- adalah Jalan, aku adalah Kebenaran dan akulah Kehidupan, tiada seorang pun yang datang kepada Allah Bapa, kecuali melalui aku." Saya kagum kerana ayat ini berabad-abad kemudian telah dicatatkan dalam al-Quran di surah al-Zukhruf ayat 61-63 : 'Ikutlah Aku, Inilah Jalan yang lurus..". Pada saat itu saya sudah yakin bahawa penyelamatan dan destini saya terletak hanya dalam tangan Isa Almasih. Kini bagindalah Juruselamat dan Rabbi bagi saya.

Satu tahun kemudian, kami telah dianugerahkan cahaya mata dari Tuhan. Kami telah mendaftarkan anak lelaki kami dan dua minggu selepas itu, kami telah diziarahi oleh beberapa orang yang ditidak undang. Pada waktu 11 suatu malam, sekumpulan daripada Jabatan Agama Islam datang ke rumah kami. Mereka ingin tahu bagaimana saya telah memeluk agama Kristian. Saya ambil peluang itu untuk ceritakan daripada al-Quran bahawa Hazrat 'Isa itulah satu-satunya Almasih yang Tunggal. 'Isa yang JUGA akan datang kembali yaitu datang kali kedua ke dunia ini, waktu itu baginda akan kembali sebagai Hakim yang seadil-adilnya. Di dalam tangan Isa Almasih terdapat kuasa yang menentukan akhirah bagi semua jiwa yang pernah hidup di dunia ini! Baik ke jannah, atau ke neraka adalah bergantung kepada Hakim yang Adil ini - Isa Almasih. Nabi Muhammad sendiri hanya seorang rasul yang perlu diampuni dosa-dosanya oleh Tuhan dan diselamatkanNya.

Pada masa yang sama, saya telah mengingatkan tetamu-tetamu saya malam itu, bahawa Quran ada sebut dari surah 35 Fatir, yaitu pemelukan agama saya itu adalah tanggungjawab saya sendiri, dan saya seorang diri sahaja akan dipertanggungjawabkan oleh Tuhan Allah ta'ala pada Hari Kiamat bagi tindakan saya. Tidak ada mana-mana insan yang dapat melakukannya bagi diri saya. Saya rasa ada keinginan beberapa pihak 'berkuasa' Islam yang mahu cuba menentukan masa depan atau destini bagi pihak orang-orang Islam yang lain. Itulah satu sebab kenapa ada orang yang dikecam dan diancam kematian dan pembunuhan bila mereka meninggalkan Islam dan memeluk agama lain. Setelah mendengar penjelasan dari saya, pegawai-pegawai agama itu pun meninggalkan rumah saya. Saya bersyukur kepada ilahi kerana keberanian yang telah diberikanNya kepada saya, dan juga fikiran yang tenang dan waras pada waktu itu. Halleluya!

 


Indeks Utama